Bagaimanakah untuk kekal fokus dan bermotivasi dalam penulisan?
Tidak dapat dinafikan fokus dan motivasi adalah dua ingredien penting dalam penulisan. Tanpa fokus penulisan tidak boleh disiapkan seperti yang dikehendaki. Tanpa motivasi pula sudah tentu membuatkan kita kehilangan fokus.
Penulisan yang baik dan bermanfaat sudah tentu perlukan kajian yang teliti. Kajian sebegini menjamin maklumat yang tepat, relevan dan bermanfaat.
Kajian yang baik juga perlukan persoalan yang baik. Jelasnya kita perlukan motivasi untuk kekal fokus. Bagaimanakah untuk kekal bermotivasi?
Sistem bekerja yang teratur mampu membuatkan kita kekal bermotivasi. Setiap individu pastinya mempunyai cara tersendiri dalam melakukan sesuatu, termasuklah dalam penulisan. Walau bagaimanapun, beberapa kaedah umum boleh diikuti bagi memastikan kita mempunyai kaedah bekerja yang sistematik.
Kaedah berkerja yang sistematik merangkumi juga pengurusan bahan bacaan / sumber maklumat. Jika penulisan dirancang untuk mempunyai beberapa bahagian / bab, adalah lebih baik sekiranya bahan bacaan / sumber maklumat dibuat dan disimpan berdasarkan bahagian / bab yang telah dikenalpasti.
Menyediakan senarai sumber maklumat pastinya dapat membantu kita dalam membuat pengumpulan maklumat sebaik mungkin. Sumber maklumat mungkin terdiri daripada buku, jurnal dan juga internet. Tertakluk kepada topik sesuatu penulisan, sebaiknya sumber maklumat ini disenaraikan mengikut keutamaan. Penulisan yang bercorak umum dan santai mungkin boleh dibuat berdasarkan sumber yang diperoleh daripada internet. Walau bagaimanapun, penulisan artikel saintifik pula sudah tentu memerlukan sumber seperti jurnal dan juga buku.
Langkah berikutnya adalah pembacaan secara sepintas lalu semua sumber maklumat yang ada, dan pengkelasan perlu dibuat berdasarkan kepentingan sumber berkenaan terhadap topik penulisan kita. Pengkelasan bahan bacaan kepada "sangat berkaitan", "umum", ataupun "kupasan yang baik" mungkin dapat membantu kita untuk membuat pembacaan semula kemudian.
Kaedah pembacaan yang baik juga boleh menbantu penulis kekal bermotivasi. Apakah kaedah pembacaan yang baik? Seperti dinyatakan sebelum ini pembacaan seharusnya bermula dengan pembacaan secara sepintas lalu. Pembacaan pada peringkat ini bertujuan untuk mengkelaskan sumber maklumat atau bahan bacaan yang digunakan.
Pembacaan untuk peringkat seterusnya adalah untuk memberi perhatian ataupun mencari maklumat ataupun input tentang aspek tertentu. Aspek ini tidak semestinya perlu dikenalpasti lebih awal. Elak daripada membaca dengan penekanan yang sama terhadap setiap halaman / bahagian yang dibaca. Tumpuan sepatutnya diberi lebih kepada bahagian yang dirasakan penting untuk penulisan kita.
Setiap input perlu dicatat ataupun terus dimuatkan dalam deraf penulisan. Persoalan / idea tambahan yang berkaitan juga perlu dicatat pada peringkat ini bagi membantu pencarian maklumat tambahan kemudian.
Selain itu, perancangan penulisan dari segi pelaksanaan juga penting. Usaha untuk menyiapkan penulisan pastinya tidak akan ke mana jika hari ini kita berjaya menulis sebanyak 20 halaman namun halaman berikutnya tidak muncul-muncul walaupun 6 bulan telah berlalu. Penulisan perlukan usaha yang berterusan. Sebaiknya jadual khusus perlu disediakan dan penulis mesti mempunyai tahap displin yang tinggi supaya dapat mengikut semua perancangan yang telah dijadualkan.
Sediakan perancangan / jadual yang realistik. Elak menghabiskan terlalu banyak masa untuk sesi tertentu kerana ini menyebabkan produkviti bagi sesi berikutnya akan menurun.
Mungkin elok juga setiap kali selepas menyelesaikan bahagian penulisan tertentu diselitkan dengan aktiviti kegemaran kita sebagai satu hadiah untuk diri sendiri. Ini pastinya dapat membantu penulis untuk sentiasa bermotivasi.
Untuk kekal bermotivasi elakkan menunggu terlalu lama bagi memulakan penulisan ataupun memulakan setiap bahagian / bab baru. Penulisan mestilah dimulakan sebaik sahaja maklumat yang diperlukan diperoleh secukupnya. Elakkan daripada berfikiran pencarian maklumat adalah satu aktiviti berbentuk 'one-off'. Sebaliknya, pencarian maklumat adalah aktiviti berterusan, sehinggalah maklumat yang diperlukan bagi setiap apa yang ingin disampaikan melalui penulisan diperoleh secukupnya.
Mulakan penulisan dengan deraf "0". Deraf ini merujuk kepada versi penulisan yang bebas tanpa memberi penekanan kepada istilah yang paling tepat, struktur ayat yang paling lengkap mahupun isi penulisan yang paling mantap. Versi ini bertujuan semata-mata untuk memindahkan semua idea yang ada dalam pemikiran penulis kepada bentuk penulisan. Ianya lebih kepada suatu catatan yang agak berstruktur.
Apabila menyemak deraf '0' perhatian seharusnya diberikan terhadap penggunaan istilah, frasa serta ayat yang baik dan bersesuaian. Berikan perhatian terhadap isi penulisan yang menyerlah, mungkin ada ruang yang boleh dikembangkan lagi. Berikan juga perhatian terhadap isi penulisan yang mungkin mengelirukan ataupun menimbulkan persoalan., penjelasan lanjut sebaiknya ditambah. Catatan perlu dibuat sekiranya penjelasan lanjut memerlukan maklumat tambahan. Yang pasti, kita mesti memberi perhatian khusus terhadap isi penulisan yang ingin disampaikan. Adakah ianya telah disampaikan secara paling ringkas dan jelas? Sekiranya melibatkan penjelasan ataupun sesuatu logik, adakah penjelasan / logik berkenaan mudah diikuti oleh pembaca? Adakah penjelasan / logik tersebut boleh menimbulkan keraguan?
Dari semasa ke semasa semakan perlu dibuat ke atas pematuhan jadual penulisan yang telah dibuat. Adakah kita berjaya mematuhi semua yang telah dijadualkan? Adakah pencapaian kita terkebelakang ataupun mendahului jadual? Perubahan ke atas jadual perlu dilakukan bersesuaian dengan pencapaian semasa.
Perhatikan beberapa tanda yang mungkin membawa maksud penulisan kita bermasalah. Adakah kita sentiasa menulis setelah semua urusan lain diselesaikan? Adakan kita menulis pada lewat malam setelah semua orang lain tidur? Adalah kita sewenang-wenangnya memberi perhatian terhadap urusan lain terlebih dahulu berbanding penulisan yang telah dijadualkan? Ini adalah sebahagian daripada tanda-tanda yang kita bermasalah dalam penulisan.