Sebenarnya kenapa Ayah Chik Li jadikan berkebun di keliling rumah ni sebagai hobi?
Sama ada kita mempunyai pekerjaan tetap ataupun tidak, berkebun di sekitar rumah mempunyai banyak manfaatnya.
Kita semua maklum bahawa harga sayur-sayuran dan juga buah-buahan semakin meningkat. Sayur-sayuran seperti cili, kangkung dan serai sangatlah mudah ditanam, dan memerlukan penjagaan yang minimum. Masing-masing boleh buat kiraan mudah berapa banyak wang yang kita belanjakan setiap bulan untuk membeli cili, serai dan sayur-sayuran lain. Kalaulah kita dapat mengelak perbelajaan berkenaan sebanyak 50% sahajapun dengan menanam sendiri sayur-sayuran berkenaan sudah tentu ini memberikan kita cukup motivasi untuk kita berkebun.
Dan lagi, kita sudah tentu berpeluang untuk memakan sayur-sayuran yang segar, berbeza dengan sayur-sayuran yang dibeli dari pasar.
Selalunya apabila berkebun di laman sendiri tiada keperluanpun untuk kita menggunakan pelbagai racun serangga / makhluk perosak. Sekaligus ini bermakna kita memakan sayur-sayuran yang terjamin bebas dari sebarang saki-baki racun serangga / makhluk perosak.
Berkebun di laman rumah juga boleh dijadikan aktiviti keluarga yang dapat mengeratkan hubungan antara ahli keluarga. Lebih-lebih lagi jika kita adalah ibubapa yang sentiasa sibuk bekerja.
Secara tidak langsung juga kita akan dapat merasainya bagaimana sayur-sayuran / buah-buahan dihasilkan. Dengan ini kita akan menghargai makanan dengan lebih baik dan boleh memupuk sikap benci terhadap pembaziran makanan.
Selain dapat memanfaatkan tanah di sekitar rumah, berkebun di laman rumah juga dapat menghijaukan persekitaran rumah. Pemilihan tanaman yang sesuai pastinya dapat memberikan pemandangan yang indah serta mententeramkan jiwa.
Kehidupan di zaman ini sering saja memperlihatkan rapuhnya hubungan sesama jiran. Berkebun di laman rumah boleh dijadikan asbab untuk kita tingkatkan hubungan bukan sahaja dengan jiran malah juga dengan rakan sekerja di pejabat. Kalau kita mempunyai hasil tanaman di laman rumah yang lebih boleh saja kita kongsikan dengan jiran-jiran dan juga rakan sepejabat.
Dan kalau kita rajin berusaha, hasil tanaman di laman kita yang lebih juga boleh mendatangkan sumber kewangan tambahan kepada kita.
Paling tidakpun berkebun di laman rumah pasti dapat menjamin kita menggunakan masa sebaik mungkin. Di zaman ini agak sukar untuk menemui individu yang tidak mempunyai telefon pintar. Dan kita semua maklum berapa banyak masa yang masing-masing habiskan dengan telefon pintar. Lebih malang lagi sebahagian besar masa yang kita habiskan dengan telefon pintar langsung tidak memberi apa-apa manfaat kepada kita. Kalaulah kita memanfaatkan masa yang kita habiskan dengan telefon pintar untuk membaca / mencari maklumat tentang berkebun, walaupun sekadar berkebun di laman rumah pastinya masa yang kita habiskan itu menjadi lebih bermakna.