Cari Dalam Blog Ini

Isnin, 6 Januari 2020

Kunyit Hitam / Black Ginger / Kaempferia parviflora / Herba / Organik / Nurseri

Permintaan terhadap produk berasaskan bahan semula jadi atau herba meningkat secara mendadak di pasaran negara ini berikutan kecenderungan pengguna menggunakannya untuk tujuan perubatan dan kesihatan.

Tidak hairanlah pasaran industri produk herba di negara ini terus meningkat dari setahun ke setahun apabila dianggarkan nilai pasarannya mampu mencecah lebih RM4.5 bilion setahun.
Kunyit Hitam /  Kaempferia parviflora
Terdapat pelbagai bahan semula jadi atau herba yang popular di pasaran seperti tongkat ali, kacip fatimah dan daun misai kucing.

Walau bagaimanapun, pokok kunyit hitam atau nama saintifiknya Kaempferia parviflora, kurang popular dalam kalangan generasi masa kini.

Tumbuhan herba ini terdiri daripada kumpulan kunyit dan halia yang didapati secara meluas ditanam di Thailand berbanding di negara ini.

Mungkin faktor itulah yang menyebabkan ramai dalam kalangan masyarakat kurang mengenali apatah lagi mengetahui khasiatnya.

Situasi itu turut diakui pembekal dan pengedar anak benih pokok buah-buahan dan herba, Othman Saidon, 58.

Katanya, dari segi fizikal tanaman itu hampir serupa dengan kunyit biasa, namun bentuk ubinya berbeza dan berwarna ungu hitam walaupun saiz seakan-akan sama.

“Ketika ini sukar memperoleh benih kunyit hitam kerana ia tidak terdapat di pasaran atau nurseri. 

Biasanya saya mendapatkan benihnya dari Thailand pada RM200 sekilogram.

“Kunyit hitam mempunyai nilai komersial yang tinggi kerana rizom (akar berisi) dan daunnya digunakan sebagai bahan bagi tujuan pengeluaran produk kesihatan, kosmetik, makanan tambahan dan perubatan.

“Hasil kajian yang dilakukan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mendapati tumbuhan ini mengandungi antioksida yang tinggi, meningkatkan tenaga manusia dan dikatakan sesuai untuk kosmetik serta bahan rawatan penyakit jantung,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Othman berkata, berbanding di Thailand, penghasilan produk berasaskan kunyit hitam di pasaran tempatan sangat terbatas berikutan kekurangan bahan tanaman itu dan hanya segelintir pengusaha yang menanamnya secara berskala besar.

Katanya, tidak hairanlah di negara gajah putih itu terdapat produk berasaskan kunyit hitam yang diaplikasikan dalam pelbagai bentuk makanan kesihatan tambahan selain kosmetik.

“Kekurangan kunyit hitam di negara ini menyebabkan ia sangat sukar untuk diperoleh dan menjadi faktor utama ia tidak popular seperti pokok herba lain antaranya tongkat ali dan kacip fatimah,” katanya yang mengakui kunyit hitam mudah ditanam sama ada di atas tanah, dalam pasu atau menggunakan beg semaian.
“Saya yakin kunyit hitam ini jika ditanam secara komersial ia boleh membawa pulangan lumayan kepada pengusaha bukan saja untuk pasaran tempatan, malah luar negara,” katanya.
Artikel asal: Harian Metro Jumaat, 8 Jun 2018