Cari Dalam Blog Ini

Selasa, 18 Julai 2017

Menyuburkan pokok tin melalui penjagaan media tanaman yang baik

Khas untuk peminat pokok tin (anak tut dalam polibag) di Malaysia, khususnya yang berada di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan (Bangi, Sepang, Sungai Ramal, Dengkil, Banting, Sungai Pelek, Bandar Baru Salak Tinggi, Seri Putra, Bukit Mahkota, Sungai Merab, Sri Kembangan, Serdang, Petaling Jaya, Shah Alam, Cyberjaya, Kajang, Nilai, Seremban, Semenyih, Beranang dan Cheras)

Beberapa bulan lepas saya terserempak dengan satu posting dalam fesbuk tentang seorang penggemar pokok tin seolah-olah mengamuk. Saya kurang pasti punca amukannya. Berdasarkan foto dalam postingnya pokok tin yang ditanamnya kelihatan kurang subur dan tidak berbuah, yang mungkin merupakan punca amukannya.

Bagaimana untuk menjaga pokok tin supaya berbuah?

Beberapa perkara perlu diambilkira. Pertamanya adalah anak benih pokok yang ditanam mestilah daripada induk yang sememangnya boleh berbuah di Malaysia. Ada lebih kurang 800 (ada sumber yang mengatakan jumlahnya adalah lebih besar) variety tin yang ditanam di seluruh dunia (tidak termasuk pokok tin liar) namun bukanlah semuanya boleh berbuah apabila ditanam di Malaysia. Oleh yang demikan, sebelum membeli anak pokok tin ada baiknya jika kita membuat sedikit pembacaan untuk mendapatkan maklumat tentang variety yang telah ditanam dan sememangnya boleh berbuah di Malaysia. Melainkan kita memang ingin mencuba nasib dengan variety yang baru.

Kita juga mesti faham bahawa ada macam-macam cara penghasilan anak benih pokok tin. Ada yang disemai daripada biji benih, ada yang dibiakkan secara tut ataupun keratan batang dan juga yang dibiakkan menggunakan kaedah tissue culture. Anak benih yang disemai daripada biji benih dan melalui kaedah tissue culture akan mengambil tempoh yang panjang untuk mencapai tempoh matang dan seterusnya berbuah. Umumnya anak benih yang dihasilkan secara tut mengambil tempoh paling singkat untuk berbuah. Dengan penjagaan pokok yang baik serta pembajaan yang betul pokok boleh berbuah dalam tempoh tiga bulan (sudah tentu tertakluk juga kepada variety).

Bagaimana untuk menjaga pokok dengan baik?

Sememangnya ada banyak aspek penjagaan pokok tin, termasuklah penjagaan media tanaman. Pokok tin tidak suka kepada media yang sangat lembab / air yang bertakung. Ini akan merosakkan akar pokok dan seterusnya pokok mati. Oleh itu media tanaman mestilah daripada jenis yang tidak memegang air terlalu banyak / tidak menyebabkan air bertakung, iaitu media mestilah poros.

Kaedah paling mudah untuk menyediakan media yang poros adalah dengan mencampurkan apa sahaja media yang dipilih dengan sejumlah pasir (sebagai contoh ~ 25%, isipadu). Ada juga yang menggunakan bahan yang lebih mahal seperti perlite, vermiculite dan yang seangkatan dengannya. 

Ramai juga yang mengatakan pokok tin agak manja, khususnya dalam persekitaran di Malaysia. Dalam media tanaman tertentu, terutamanya topsoil, terdapat banyak hidupan, salah satunya adalah sejenis cacing mikro yang dipanggil nematod. Cacing ini tidak mendatangkan masalah kepada kebanyakan pokok lain namun boleh membunuh pokok tin, terutamanya di peringkat awal penanaman. Ini adalah kerana nematod bertelur dan menetas dalam akar muda pokok tin. Anak nematod membesar dengan menjadi parasit dalam akar pokok tin. Pokok boleh terbantut kerana kekurangan nutrien. Pokok tin juga boleh mati jika jumlah parasit terlalu banyak, ataupun akar pokok tin belum cukup banyak. Selain dalam tanah, nematod juga dikatakan boleh membiak dalam pasir yang bersentuhan dengan tanah, contohnya pasir yang disimpan di atas tanah, ataupun pasir lombong yang sebahagiannya terdedah kepada udara. Pasir yang selengkapnya terendam dalam air (seperti pasir sungai) adalah bebas daripada nematod. Untuk memastikan pasir yang digunakan betul-betul bebas daripada nematod pasir yang akan digunakan bolehlah direndam dalam air untuk tempoh beberapa hari. Penggunaan media tanaman bukan tanah sudah tentu dapat mengelakkan masalah ini. Namun tidak semestinya penggunaan media bukan tanah adalah bebas daripada sebarang masalah.

Penggunaan baja organik dan kompos sebagai bahan tambahan dalam media tanaman sudah tentu dapat menyuburkan pokok. Namun dalam kompos dan baja organik terutamanya yang menggunakan najis haiwan, terdapat macam-macam fungus yang juga boleh merosakan / mendatangkan penyakit kepada pokok tin. Dalam pasaran sekarang terdapat juga baja organik dan kompos yang telah dirawat bertujuan untuk mematikan fungus. Secara peribadi saya sedikit musykil tentang perawatan baja organik dan kompos ini. Jika perawatan yang digunakan sememangnya mampu mematikan fungus, tidakkah juga ini akan mematikan macam-macam mikrob baik dalam baja organik dan kompos berkenaan? Baja organik dan kompos sengaja dihasilkan untuk membekalkan mikrob baik yang boleh menyumbang kepada penyuburan pokok. Jika mikrob baik mati, salah satu keistimewaan baja organik dan kompos telah hilang.

Pokok tin mampu menyerap nutrien / baja daripada media tanaman apabila keasidan / pH media tanaman berada dalam julat neutral (lebih kurang pH 6.5 - 7.5). Jika pH tanah berada di luar julat ini pokok tin gagal menyerap dengan baik kebanyakan nutrien daripada media tanaman. Penggunaan media yang mengandungi banyak kandungan bahan organik (bahan berasaskan tumbuhan ataupun najis haiwan) boleh menyebabkan media tanaman menjadi berasid setelah beberapa bulan media berkenaan digunakan. Ini adalah kerana apabila bahan organik berkenaan diurai / dihadam oleh mikrob dalam media tanaman, sejenis asid dihasilkan sebagai hasil sampingan penguraian / penghadaman. Pengasilan asid inilah yang meningkatkan keasidan media tanaman. Contoh media tanaman yang kaya dengan bahan organik adalah coco peat, peat moss, kompos dan lain-lain. Adalah disarankan supaya keasidan media tanaman diperiksa secara berkala jika kita menggunakan bahan-bahan ini sebagai media tanaman. Jika media tanaman telah menjadi berasid, penggunaan beberapa bahan tertentu seperti dolomite boleh meneutralkannya kembali, iaitu mengembalikan pH media tanaman ke julat neutral.

Media tanaman yang lembab boleh menarik serangga seperti gnat untuk datang dan bertelur dalam media. Larva gnat adalah pasasit kepada anak pokok tin. Kesannya ke atas pokok tin adalah lebih teruk jika penanaman pokok tin masih di peringkat awal. 

Media tanaman yang terlebih lembab, persekitaran yang tidak dijaga dengan baik, kandungan bahan organik tinggi adalah habitat yang sesuai bagi pembiakan pelbagai jenis fungus yang sebahagiannya boleh merosakkan pokok tin. Oleh yang demikian sentiasalah menjaga kebersihan persekitaran pokok dan elakkan kelembapan media berlebihan.

Kadang-kadang media tanaman berasaskan tanah khususnya topsoil dan tanah hitam, mengandungi hama / kutu yang boleh merosakkan pokok tin. Penggunaan racun hama / kutu tertentu boleh mengatasi masalah ini. Penggunaan racun seperti ini juga boleh mengatasi masalah serangan larva dalam media, misalnya larva gnat.

Inilah beberapa catatan penjagaan media tanaman, sebahagian besarnya adalah pengalaman sendiri dan yang selebihnya diperoleh melalui pembacaan catatan pengalaman orang lain.

Khas untuk peminat pokok tin (anak tut dalam polibag) di Malaysia, khususnya yang berada di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan (Bangi, Sepang, Sungai Ramal, Dengkil, Banting, Sungai Pelek, Bandar Baru Salak Tinggi, Seri Putra, Bukit Mahkota, Sungai Merab, Sri Kembangan, Serdang, Petaling Jaya, Shah Alam, Cyberjaya, Kajang, Nilai, Seremban, Semenyih, Beranang dan Cheras)