Pernah suatu ketika seorang sahabat bertanyakan tentang keadaan pokok tin yang beliau tanam. Gambarannya adalah seperti dalam foto di bawah.
Pada bahagian pucuk, tiada langsung batang yang berwarna hijau, semua gelap / coklat sampailah ke hujung batang, dan tiada juga kelihatan daun baru mahupun pucuk. Satu lagi foto menunjukkan media tanaman adalah sangat keras dan kelihatan kering.
Berdasarkan keadaan hujung batang pokok jelas sekali bahawa pokok ini berhenti membesar dan tidak subur. Saya pernah terangkan sebelum ini ciri-ciri pokok yang subur. Antaranya adalah seperti berikut:
- Mempunyai bahagian batang yang berwarna hijau (menandakan pokok tidak dormant / tidur)
- Memiliki daun baru yang lebar dan segar
- Mempunyai batang dengan jarak antara nod (jarak antara pangkal daun pada batang) melebihi 1 inci (menandakan pokok membesar dengan baik)
- Sedang berpucuk (menandakan pokok sedang membesar)
Sebenarnya memang banyak punca pokok tidak subur / berhenti membesar. Namun berdasarkan foto di atas kemungkinan besar puncanya adalah media yang digunakan kurang sesuai dan siraman yang tidak mencukupi. Pokok tin memerlukan jumlah air yang banyak untuk kekal subur. Beberapa peladang / pekebun yang pernah saya temui menyiram pokok tinnya beberapa kali dalam sehari. Ada yang menyiram sehingga 9 kali sehari, dan pokok tinnya membesar sehingga mencecah ketinggian 12 kaki dalam tempoh 6 bulan. Namun perlu diingat bahawa pokok tin akan mati jika medianya tersangat lembab ataupun menakung air. Maksudnya media yang digunakan mestilah media yang poros. Saya pernah terangkan sebelum ini bagaimana untuk sediakan media yang poros.
Bagi kes ini media juga kelihatan sangat keras. Pokok tin yang kita tanam kebanyakannya menggunakan anak tut ataupun anak keratan batang. Oleh itu hampir semua akarnya adalah akar serabut / rerambut yang kecil saiznya dan banyak jumlahnya. Akar serabut pokok tin sangat lembut dan tidak dapat berkembang dengan baik dalam media yang keras.
Oleh itu selain poros media juga mestilah lembut. Kaedah yang paling mudah untuk menyediakan media yang lembut adalah dengan mencampurkan sabut kelapa hancur ke dalam media pada kadar 20 - 25% daripada jumlah media. Elak penggunaan sabut kelapa hancur dengan kadar yang lebih tinggi kerana ini akan menyebabkan keseluruhan media menjadi agak masam yang juga akan membantutkan tumbesaran pokok tin.