Apakah baja AB / baja fertigasi?
Fertigasi adalah kaedah membekalkan baja kepada tanaman melalui air yang disiram. Maksudnya baja yang digunakan mestilah dari jenis yang larut air. Lazimnya baja fertigasi dipanggil sebagai baja AB. Ini adalah kerana baja fertigasi dibahagikan kepada 2 set, iaitu set A dan set B. Setiap set mengandungi nutrien dan mikronutrien tertentu yang diperlukan oleh tanaman. Baja AB selalunya memadai untuk kebanyakan tanaman.
Di pasaran, baja AB dijual dalam beberapa saiz / amaun, misalnya 10 L, 50 L dan 100 L. Baja AB 10 L bermaksud setiap set A dan B perlu dilarutkan dalam 10 L air (secara berasingan, sebagai larutan stok baja A dan B). Kemudiannya sejumlah tertentu larutan stok A dan B (dengan isipadunya yang sama) perlu dicampurkan dan dicairkan sekali lagi untuk mencapai kepekatan tertentu bersesuaian dengan tanaman yang ingin dibajakan. Kepekatan larutan campuran yang dicairkan ini selalunya diukur menggunakan alat yang dipanggil EC Meter. Alat ini sebenarnya mengukur tahap pengaliran elektrik oleh larutan baja, yang menggambarkan kepekatan baja. Unit ukurannya adalah mikro Siemens. Tanaman yang berbeza memerlukan nilai kepekatan baja AB yang berlainan.
Bagi pokok tin kepekatan larutan campuran baja AB yang disyorkan adalah dalam julat 2.6 - 3.2 mikro Siemens. Perlu diingat bahawa kepekatan sebenar larutan camputan baja AB ini hanya boleh ditentukan menggunakan alat seperti EC Meter. Walau bagaimanapun, sebagai anggaran, pencairan larutan stok sebanyak 6 kali ganda (misalnya 0.5 L larutan stok A dan 05 L larutan stok B dicairkan dengan 30 L air) akan menghasilkan kepekatan sekitar 3.0 mikro Siemens (ini hanyalah anggaran sahaja, adalah lebih baik ukuran kepekatan dibuat menggunakan EC Meter).
Kekerapan penyiraman larutan baja AB ni agak pelbagai, ada yang mengesyorkan 2 - 3 kali sehari dan ada pula sekali sehari. Saya sendiri menggunakan baja organik sebagai tambahan, selain baja AB. Saya menggunakan baja AB sekali setiap 2 hari dan baja organik sekali seminggu. Penggunaan larutan baja AB adalah 100 - 150 mL setiap kali untuk setiap pokok, manakakala penggunaan baja organik pula adalah 100 - 150 g (2 - 3 senduk) setiap kali untuk setiap pokok. Baja organik yang saya gunakan adalah Baja Organik Attia.
Semoga bermanfaat.