Pokok tin boleh hidup subur dan berbuah dalam iklim tropika seperti di Malaysia. Namun beberapa perkara perlu diambil perhatian.
Untuk hidup subur dan berbuah pokok tin perlukan pendedahan kepada cahaya secara maksimum. Sekurang-kurangnya pokok tin perlu didedahkan kepada cahaya dari awal pagi sehinggalah ke tengahari. Adalah perlu diberi perhatian bahawa pendedahan kepada cahaya matahari untuk tempoh yang panjang sebegini boleh menyebabkan pokok tin mengalami dehidrasi (pengeringan) melampau yang boleh menyebabkan pokok mati, terutamanya jika pokok ditanam dalam bekas dan tidak disiram dengan kerap. Lebih-lebih lagi, pokok tin mempunyai daun yang lebar. Oleh yang demikian, pokok tin perlu disiram beberapa kali dalam tempoh pokok tin terdedah kepada cahaya matahari, terutamanya jika pokok ditanam dalam bekas / pasu.